Terkini

Khasiat Belut Untuk Kesihatan Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat belut pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat belut, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.



Belut adalah sejenis haiwan yang tergolong di dalam kumpulan ikan. Secara amnya, terdapat pelbagai spesis belut di seluruh dunia. Antara belut yang biasa ditemui di Malaysia adalah belum dalam spesis Monopterus albus atau dikenali belut sawah.


Seperti seekor ular, belut mempunyai badan yang panjang, licin dan tidak mempunyai kaki atau tangan. Belut biasanya boleh ditemui di dalam air samada di dalam laut, kawasan air tawar, kawasan sawah padi, paya dan kawasan tasik.


Hidangan berasaskan belut sangat popular kerana rasa isinya yang sedap dan lembut. Belut biasanya dihidangkan dalam pelbagai cara termasuklah digoreng berempah, dimasak gulai, dibuat sup atau pun dijadikan bahan dalam makanan jepun iaitu sushi.


Tidak dinafikan, belut juga mempunyai kandungan nutrisi yang baik. Senarai di bawah menunjukkan kandungan nutrisi yang ada di dalam belut.



Nutrien Jumlah (setiap 100g belut segar)


Kalori (kcal) - 184

Karbohidrat (g) - 0

Protein (g) - 18.4

Jumlah lemak (g) - 11.7

*Lemak tepu (g) - 2.4

*Lemak tak tepu mono (g) - 7.2

*Lemak tak tepu poli (g) - 0.9

*Jumlah asid lemak omega-3 (mg) - 653

*Jumlah asid lemak omega-6 (mg) - 196

*Kolesterol (mg) - 126

Vitamin A (IU) - 3477

Vitamin C (mg) - 1.8

Vitamin D (IU) - ~

Vitamin B1 (mg) - 0.2

Vitamin B2 (mg) - 0.0

Vitamin B3(mg) - 3.5

Vitamin B5 (mg) - 0.2

Vitamin B6 (mg) - 0.1

Vitamin B9 (mcg) - 15

Vitamin B12 (mcg) - 3.0

Calcium (mg) - 20

Zat besi (mg) - 0.5

Magnesium (mg) - 20.0

Fosforus (mg) - 216

Kalium (mg) - 51

Natrium (mg) - 51

Zink (mg) - 1.6

Selenium (mcg) - 6.5


Berdasarkan senarai di atas, dapat dilihat bahawa belut mengandungi pelbagai nutrien penting seperti protein, vitamin dan mineral. Walau bagaimana pun, ia juga dengan lemak yang terdiri daripada pelbagai jenis lemak termasuklah lemak tepu dan tidak tepu.


Belut adalah sumber protein yang bagus. Protein yang boleh ditemui di dalam belut terdiri daripada pelbagai jenis asid amino termasuklah isoleucine, leucine, cystine, arginine, phenylalanine, tryrosine, histidine, alanine dan banyak lagi. Protein dan asid-asid amino ini penting untuk fungsi badan seperti untuk sistem pencernaan, sistem pembiakan, meningkatkan imuniti badan atau terlibat dalam aktiviti otot di dalam badan.


Selain itu, belut juga kaya dengan omega 3 yang terdiri daripada omega 3 dan omega 6. Jumlah kandungan omega 3 dan 6 adalah seimbang di dalam belut, menjadikan ia bagus untuk mencegah penyakit koronari.


Di samping itu, omega 3 yang terdapat di dalam belut juga terdiri daripada Eicosapentanoic acid (EPA) dan Docosahexanoic acid (DHA) yang boleh memainkan pelbagai peranan seperti sebagai antiradang dan antitumor yang boleh mencegah pelbagai jenis penyakit.


10 Khasiat belut kepada kesihatan


Memandangkan belut mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa khasiat belut kepada kesihatan:


1. Sumber protein yang bagus

Protein adalah satu nutrien yang memainkan peranan penting untuk pembentukan otot, tulang dan tisu-tisu di dalam badan. Ia juga penting untuk fungsi-fungsi badan lain termasuklah untuk membina antibodi bagi sistem pertahanan badan dan membina hormon atau enzim bagi mengoptimumkan fungsi sel dan organ di dalam badan.


Belut adalah sumber protein yang bagus yang diperlukan oleh badan di mana pada setiap 100g belut terdapat kira-kira 18.4g protein. Oleh itu, pengambilan belut dalam diet boleh membantu mempelbagaikan pilihan sumber protein dalam pemakanan seharian disamping memberi khasiat kesihatan pada tubuh badan.


2. Kesan antihiperlipidemia

Hyperlipidemia adalah satu keadaan di mana seseorang individu mempunyai masalah tinggi lemak di dalam salur darah yang boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti penyakit jantung dan strok.


Satu kajian ke atas tikus yang mempunyai masalah hiperlipidemia (yang disebabkan corak pemakanan yang tinggi lemak) telah mendapati bahawa diet yang mengandungi minyak belut boleh menurunkan kadar jumlah kolesterol dalam kumpulan tikus tersebut. Ini menjadikan salah satu khasiat belut adalah dapat mengurangkan kolesterol dalam badan.


Diet yang mengandungi minyak belut itu juga menunjukkan penurunan yang jelas dan paling tinggi pada paras trigliserida dalam tikus tersebut. Hal ini kerana kandungan omega 3 yang terdiri daripada EPA dan DHA di dalam belut tersebut yang mempunyai sifat antiradang sekaligus memberi kesan antihyperlipidemia.


3. Menurunkan paras gula

Tiada kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan yang mengandungi omega 3 memberi kesan kepada paras gula dalam darah bagi subjek yang mempunyai diabetes.


Namun begitu, kajian baru-baru ini ada menunjukkan bahawa diet pemakanan yang mengandungi minyak daripada belut selama 30 hingga ke 90 hari boleh menurunkan paras gula dalam tikus yang mengalami masalah hiperlipidemia.


Kajian lain terhadap tikus yang mempunyai masalah PCOS (Polycystic ovary syndrome; masalah kecelaruan hormon dalam wanita) juga menunjukkan bahawa omega 3 berupaya menurunkan paras gula dalam darah tikus tersebut.


Oleh itu, ini menunjukkan bahawa belut yang kaya dengan omega 3 juga berpotensi menurunkan paras gula dalam darah terutama dalam individu dengan masalah hiperlipidemia atau PCOS. Walaupun ia tidak menurunkan paras gula dalam darah bagi individu yang mempunyai diabetes, ia tidak pula memberi kesan buruk kepada individu tersebut jika diambil secara berpatutan.


4. Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular

Selain itu, pengambilan belut juga berpotensi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan penyakit koronari arteri (keadaan salur darah menjadi sempit dan keras).


Hal ini kerana kandungan omega 3 yang boleh didapati di dalam belut mempunyai aktiviti antiradang, antithrombotic (aktiviti mencegah pembekuan darah) dan menurunkan paras trigiserida dalam darah.


Selain itu, keseimbangan kandungan omega 3 dan omega 6 yang ada di dalam belut juga memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan risiko penyakit koronari. Oleh itu, jelaslah bahawa belut berpotensi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.


5. Penyembuhan luka

Di samping itu, belut juga bagus untuk proses penyembuhan luka. Kajian ke atas tikus yang luka telah mendapati bahawa ubat sapu yang diperbuat daripada belut efektif bagi proses penyembuhan luka di dalam tikus tersebut.


Kajian itu mendapati bahawa tikus yang diberi ubat sapu daripada belut mempunyai kadar fibrosis (pembentukan tisu penghubung untuk proses penyembuhan) yang tinggi dan parut luka yang paling pendek berbanding rawatan lain di akhir kajian.


Oleh itu, ini menunjukkan bahawa belut bukan saja bagus untuk dimakan, ia juga boleh diproses menjadi ubat sapu bagi rawatan luka-luka kecil.


6. Sebagai penahan sakit

Di samping itu, belut juga sesuai digunakan sebagai ubat penahan sakit kerana aktiviti analgesiknya. Kajian ke atas tikus yang didorong kesakitan telah mendapati bahawa tikus yang diberi ekstrak minyak daripada belut menunjukkan respon kesakitan yang kurang berbanding rawatan lain.


Hal ini kerana belut mengandungi omega 3 yang terdiri daripada DHA dan EPA yang berperanan menghalang pembentukan interleukin (IL-1β, IL-6 dan IL-12L) yang boleh mendorong kepada kesakitan.


7. Sebagai antiradang

Selain itu, belut juga mempunyai aktiviti antiradang yang boleh membantu melawan keradangan. Keradangan adalah merupakan tindak balas sistem imunisasi badan terhadap sesuatu jangkitan yang boleh menyebabkan kemerahan, bengkak atau sakit.


Selain itu, keradangan yang berpanjangan boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit termasuklah diabetes, kemurungan dan kanser. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak minyak daripada belut mempunyai aktiviti antiradang yang boleh mengurangkan bengkak dalam tikus.


Hal ini kerana belut mengandungi EPA dan DHA yang mempunyai aktiviti antiradang sekaligus boleh merawat keradangan dan kesakitan akut atau kronik. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa belut berpotensi mencegah pelbagai jenis penyakit melalui aktiviti antiradangnya.


8. Untuk masalah artritis atau sendi

Selain itu, belut juga berpotensi untuk merawat masalah artritis. Hal ini kerana belut mengandungi omega 3 yang mempunyai aktiviti antiradang sekaligus merawat masalah artritis.


Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa diet pemakanan yang tinggi dengan omega 3 berpotensi untuk mencegah masalah artritis dalam individu yang berisiko. Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa belut bukan saja boleh membantu mengurangkan kesakitan artritis, ia juga berpotensi untuk mencegah masalah ini.


9. Untuk kesihatan tulang

Di samping itu, belut juga memainkan peranan penting untuk kesihatan tulang. Ia mempunyai kandungan omega 3 yang boleh membantu meningkatkan penyerapan kalsium di dalam tulang sekaligus bagus untuk rawatan atau pencegahan masalah osteoporosis. Selain itu, belut juga mempunyai kandungan kalsium dan fosforus yang boleh membantu dalam pembentukan tulang.


10. Berpotensi mencegah kanser

Akhir sekali, belut juga berpotensi untuk mencegah kanser. Kandungan omega 3 seperti DHA dan EPA yang ada di dalam belut boleh membantu mencegah kanser dengan menghalang pembentukan sel tumor melalui sifatnya yang antiradang.


Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak daripada belut mempunyai aktiviti antikanser atau antitumor pada sel manusia yang boleh menyebabkan kanser leukemia. Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa belut juga berpotensi untuk mencegah kanser.


Walaubagaimana pun, kajian lanjutan masih perlu dijalankan bagi mengetahui jumlah yang diperlukan bagi memberi kesan ini.


Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa belut adalah sumber protein yang bagus. Oleh itu, ia sesuai untuk dijadikan sebagai sumber protein dalam diet seharian. Di samping itu, belut juga kaya dengan omega 3 seperti DHA dan EPA. Oleh itu, belut boleh memberi kesan seperti antihyperlipidemia, menurunkan paras gula dalam beberapa golongan dan sekaligus boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.


Selain itu, belut juga boleh memainkan peranan dalam proses penyembuhan luka, sebagai penahan sakit dan sebagai antiradang. Ia juga bagus untuk masalah artritis, kesihatan tulang dan berpotensi untuk mencegah kanser.


Oleh itu, untuk mendapatkan kebaikan yang ada di dalam belut, anda bolehlah memasukkan belut di dalam diet pemakanan seharian anda. Namun begitu, adalah diingatkan untuk menggunakan cara masakan yang sihat bagi mengelakkan penambahan lemak dalam makanan memandangkan belut juga mempunyai kandungan lemaknya tersendiri. Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai kebaikan belut.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)