Terkini

Khasiat Serai Untuk Kesihatan Yang Anda Perlu Tahu

Serai atau nama saintifiknya Cymbopogon citratus merupakan sejenis tumbuhan yang berasal dari keluarga Poaceae. Tumbuhan ini mempunyai bau yang menyenangkan dan sering digunakan di dalam masakan untuk menambahkan lagi rasa masakan tersebut.



Selain itu, ianya turut digunakan untuk tujuan perubatan seperti digunakan dalam penghasilan ubat-ubatan dan minyak angin yang berasaskan serai. Namun tahukah anda akan kebaikan yang ditawarkan oleh tumbuhan ini? Oleh itu, artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan khasiat yang ditawarkan oleh serai.


Antara komponen yang berkhasiat terkandung di dalam serai adalah minyak pati yang mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan. Minyak pati serai mempunyai komponen seperti geranial, neral yang bersifat anti bakteria.


Selain itu, tumbuhan ini turut mempunyai komponen flavonoid dan fenolik yang mempunyai pelbagai kebaikan seperti anti-diarea, anti-kulat, anti-radang dan anti-oksida. Kebaikan yang ditawarkan oleh serai akan dibincangkan dengan lebih mendalam di dalam artikel ini.



Berikut merupakan khasiat atau kebaikan yang boleh diperolehi daripada serai.


1. Bersifat anti bakteria


Minyak pati yang diekstrak dari daun serai seperti geranial dan neral merupakan komponen yang mempunyai sifat antibakteria terutamanya terhadap bakteria gram negatif dan positif. Selain itu, untuk rawatan tradisional pula, serai digunakan untuk merawat jangkitan bakteria seperti keracunan makanan.


2. Bersifat anti radang


Serai juga bersifat anti radang di mana ianya dapat meredakan sebarang inflamasi. Hal ini kerana komponen bernama citral yang diekstrak dari serai mampu untuk mencegah inflamasi dan sering digunakan di dalam krim sapu sebagai rawatan kepada inflamasi dan keradangan. Ianya mampu untuk menghalang penghasilan prostaglandin dan mengurangkan keradangan.


3. Bersifat anti malaria


Malaria adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh parasit dan ianya menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk. Penyakit ini sekiranya tidak dirawat akan membahayakan nyawa pesakit yang dijangkiti.


Antara lain serai adalah bersifat anti malaria di mana komponen citral, myrcene dan citronellal mempunyai sifat anti malaria. Komponen ini mempunyai sifat antimalaria terhadap Plasmodium, sejenis parasit yang menyebabkan penyakit malaria.


4. Menurunkan paras kolesterol


Satu kajian telah dijalankan ke atas haiwan untuk mengkaji kesan pengambilan ekstrak daun serai ke atas paras kolesterol haiwan yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi. Kajian ini mendapati bahawa pemberian ekstrak daun serai menurunkan paras kolesterol haiwan tersebut.


5. Merawat masalah oral candiasis


Oral candiasis atau dikenali sebagai masalah tompokan putih di dalam mulut merupakan sejenis masalah yang disebabkan oleh jangkitan kulat. Satu kajian telah dijalankan untuk melihat keberkesanan penggunaan jus serai dan jus lemon untuk merawat masalah ini. Kajian ini mendapati bahawa penggunaan jus serai dan lemon membantu untuk merawat masalah oral candiasis.


6. Mengawal paras gula darah


Serai juga dilihat berpotensi untuk mengawal paras gula di dalam darah. Satu kajian telah dijalankan terhadap haiwan untuk mengkaji kesan anti-diabetik teh serai terhadap pengawalan gula di dalam darah haiwan yang mempunyai diabetes. Kajian ini mendapati bahawa pemberian teh serai bersifat anti-diabetik dan dapat mengawal paras gula haiwan tersebut.


7. Merawat ulser peptik


Ulser peptik terjadi apabila berlakunya luka di bahagian dinding perut. Kajian yang dijalankan terhadap haiwan menunjukkan bahawa pemberian minyak pati serai dapat merawat penyakit ulser peptik. Hal ini kerana minyak pati serai mampu melindungi lapisan perut daripada kecederaan yang disebabkan oleh aspirin dan etanol.


8. Menurunkan paras tekanan darah


Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan teh hijau dan serai ke atas pengawalan tekanan darah dan degupan jantung peserta. Kajian ini mendapati bahawa peserta yang mengambil teh serai mengalami penurunan di dalam tekanan sistolik darah berbanding dengan peserta yang mengambil teh hijau.


9. Meredakan tanda keresahan


Umum mengetahui bahawa penggunaan minyak pati dapat membantu untuk menurunkan tekanan dan menenangkan fikiran. Minyak pati serai turut memberi yang sama terhadap penggunanya. Satu kajian telah dijalankan di kalangan peserta lelaki untuk mengkaji kesan pengambilan minyak pati serai. Kajian ini mendapati bahawa peserta yang menghidu minyak pati serai mengalami penurunan di dalam aspek kegelisahan.


10. Digunakan untuk wangi-wangian


Selain diambil secara oral, serai turut digunakan untuk tujuan kosmetik dan penjagaan diri. Secara tradisionalnya, cerai digunakan untuk merawat masalah bau badan dan sering digunakan di dalam mandian. Selain itu, serai turut digunakan untuk tujuan mewangikan rambut.


Kesimpulannya, serai dapat memberikan manfaat kepada kesihatan tubuh badan. Namun begitu, kebanyakkan kajian yang telah dijalankan adalah kajian yang dijalankan ke atas haiwan. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar kesihatan terlebih dahulu untuk mereka menilai tahap kesihatan anda sebelum anda mengamalkan apa-apa jenis perubatan.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)