Terkini

Betul Ke Lemon Berkesan Untuk Detox Badan?

Sering kali kita dengari tentang pengambilan lemon sebagai detox. Adakah perkara ini mitos atau fakta?



Semua orang pasti ingin membuang toksin dalam badan bagi mendapat kesihatan yang lebih baik. Pada zaman sekarang, ramai yang menganggap dengan minum air detox seperti lemon dapat membersih dan membuang segala toksin yang terkumpul dalam badan.


Detoksifikasi adalah proses yang menyingkirkan toksin dan bahan berbahaya daripada badan.


Toksin yang dihasilkan dalam badan termasuklah asid laktik, urea dan bahan buangan daripada bakteria dalam usus. Toksin daripada sumber luar termasuklah bahan kimia dalam rokok, dadah dan arak, plumbum daripada ekzos kereta dan pencemaran udara.


Proses detoksifikasi berbeza bagi setiap individu kerana ialah dipengaruhi oleh faktor persekitaran, pemakanan, gaya hidup, status kesihatan dan genetik.



Tahukah anda yang sebenarnya dalam badan kita, terdapat beberapa organ yang bekerja untuk membuang toksin dan bahan kumbahan secara semula jadi. Ini termasuklah:


1. Hati


Hati merupakan organ yang paling besar dalam badan. Ia merupakan organ utama bagi proses detoksifikasi dan penapisan. Hati membantu membuang toksin daripada badan, membersihkan darah, menyimpan nutrien serta menghasilkan protein.


2. Usus besar


Fungsi utama usus besar adalah untuk menyerap air daripada makanan yang tidak dapat dihadam dan seterusnya meyingkirkan bahan buangan seperti najis.


3. Buah pinggang


Berfungsi untuk menapis darah dan penyingkiran bahan kumuhan termasuk urea dan urik asid.


4. Paru-paru


Menyingkirkan karbon dioksida melalui pernafasan.


Perlukah lemon sebagai detox? Jawapannya, TIDAK!


Seperti yang telah dijelaskan di atas, badan kita mempunyai organ yang bekerja untuk membuang toksin. Penambahan lemon sebagai detox tidak memberi kesan kepada proses ini. Tambahan pula, berdasarkan beberapa kajian, tidak ada bukti yang kukuh mengatakan bahawa lemon berperanan sebagai detox.


Cara terbaik untuk membersihkan sistem badan anda adalah dengan minum air yang cukup dan mengambil mengambil serat mengikut keperluan seharian. Ini dapat memastikan sistem pencernaan anda lebih teratur.


Tidak boleh tambah lemon sama sekali ke? Secara umunya, lemon tidak berfungsi sebagai detox yang boleh membuang toksin dan bahan kumuhan daripada badan.


Bahan utama air lemon ialah air. Minum air secukupnya adalah bagus untuk kekal terhidrat. Jika anda menambah lemon dalam air kerana sukakan rasanya daripada air kosong dan dapat membantu anda untuk minum air secukupnya, maka boleh diteruskan.


Walaupun tiada kajian kukuh yang dapat membuktikan lemon berfungsi sebagai detox, namun, lemon mempunyai khasiat tersendiri kerana mengandungi nutrien seperti Vitamin C, antioksidan dan flavonoid.


1. Mengandungi antioksidan


Antioksidan adalah satu komponen yang membantu untuk melindungi sel badan daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Dengan ini, ia dapat mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.


2. Mengandungi flavonoid


Flavonoid adalah daripada kumpulan fitokimia yang juga mengandungi antioksidan dan juga dapat mengurangkan keradangan dalam badan.


Keradangan kronik akan meningkatkan tekanan oksidatif dan risiko penyakit seperti atritis, kanser dan kencing manis.


3. Mengandungi Vitamin C


Vitamin C merupakan vitamin yang larut air. Ia berperanan dalam meningkatkan sistem ketahanan badan, penyembuhan luka dan membantu penyerapan zat besi daripada makanan.


4. Mengurangkan risiko batu karang


Batu karang merupakan penumpukan mineral yang terkumpul dalam buah pinggang. Kompaun sitrat dapat mengurangkan risiko batu karang.


Lemon mempunyai kandungan sitrat yang tinggi dapat melindungi daripada risiko pembentukan batu karang.


Tambahan pula, batu karang juga boleh terjadi apabila seseorang itu tidak cukup pengambilan air. Justeru, pengambilan air yang cukup dapat mencegah daripada berlakunya batu karang, tidak kira ada ditambahn lemon di dalamnya atau tidak.


Kesimpulannya, penambahan lemon dalam air tidak memberi kesan kepada proses detoksifikasi dalam badan. Organ kitalah yang berfungsi untuk membuang toksin dan bahan buangan dalam badan.


Namun, lemon yang ditambah dalam air mempunyai khasiatnya kerana ia mengandungi komponen dan nutrien seperti antioksidan, flavonoid, vitamin C, dan juga mengurangkan risiko batu karang.


Penambahan lemon ada salah satu cara bagi menambah rasa dalam air dan juga memberi kesegaran, apa lagi apabila minum air lemon sejuk pada hari panas. Ia juga membantu anda untuk kekal terhidrat.


Akhir sekali, minum air secukupnya adalah penting kerana ia bukan sahaja mengekalkan dehidrasi, tapi dapat membantu untuk melancarkan proses penghadaman dan pembuangan toksin dalam badan.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)