Terkini

Kanak-kanak Sembelit? 10 Makanan Yang Sesuai Diberikan

Apakah makanan yang sesuai untuk kanak-kanak yang mengalami masalah sembelit? Artikel ini akan membincangkan makanan yang sesuai bagi mereka.



Kejadian sembelit di kalangan kanak-kanak bukanlah suatu perkara yang asing lagi. Seringkali kita mendengar golongan ibu bapa mengadu bahawa anak-anak mengalami masalah ini. Apakah yang dimaksudkan dengan sembelit? Sembelit adalah salah satu masalah yang berkaitan dengan sistem pencernaan di mana pengalaminya mengalami masalah kesukaran untuk membuang air besar.


Sembelit didefinisikan sebagai apabila seseorang itu mengalami pergerakkan usus yang kurang dari tiga kali seminggu. Antara simptom-simptom yang akan dialami oleh kanak-kanak yang mengalami masalah sembelit adalah kekurangan membuang air besar, sakit semasa cuba mengeluarkan najis, mengeluarkan najis yang mungkin bercampur darah dan mengalami masalah kencing.



Berikut merupakan antara punca-punca sembelit di kalangan kanak-kanak.


- Pengambilan serat yang kurang

- Alergik terhadap protein susu lembu

- Tekanan psikologi

- Mempunyai masalah berkaitan sistem pencernaan

- Pengambilan ubat-ubatan seperti opiod

- Masalah metabolisma atau endokrin

- Mempunyai masalah gangguan makan


10 Makanan untuk merawat sembelit dalam Kanak-kanak


Berikut merupakan senarai makanan yang sesuai diambil oleh kanak-kanak yang mengalami masalah sembelit.


1. Air kosong


Pengambilan air yang mencukupi di kalangan kanak-kanak adalah penting kerana mereka sering bergerak aktif dan banyak kehilangan cecair daripada badan. Kekurangan air juga dapat menyebabkan masalah sembelit. Kanak-kanak haruslah mengambil sekurang-kurangan 4 ke 6 gelas air sehari untuk memenuhi keperluan harian.


2. Yogurt


Yogurt merupakan sejenis makanan yang terhasil daripada proses fermentasi bakteria di dalam susu. Ianya mengandungi bakteria baik yang dapat meningkatkan kesihatan usus. Satu kajian mendapati bahawa pemberian yogurt dapat memperbaiki simptom-simptom sembelit di kalangan kanak-kanak berusia 5 ke 15 tahun.


3. Minuman berkulturr


Minuman berkultur merupakan antara pilihan yang boleh diambil untuk merawat masalah berkaitan sistem penghadaman. Kajian mendapati bahawa pemberian minuman susu berkultur dapat merawat masalah sembelit. Hal ini kerana minuman berkultur mengandungi kandungan bakteria baik yang dapat membantu sistem pencernaan.


4. Buah kiwi hijau


Buah kiwi juga merupakan antara pilihan makanan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sembelit. Hal ini kerana buah ini mengandungi kandungan serat yang agak tinggi. Ianya juga mengandungi enzim actinidine iaitu sejenis enzim yang meransang pergerakkan usus. Pengambilan buah ini dapat meningkatkan isipadu najis dan memudahkan pembuangan najis.


5. Buah prune


Apakah itu buah prune? Buah prune adalah buah plum yang telah dikeringkan dan ianya dikatakan berkesan untuk merawat masalah sembelit. Ianya mengandungi kandungan serat, fruktos dan sorbitol yang tinggi. Selain itu, ianya mempunyai beberapa komponen yang bersifat laksatif di mana ianya dapat meransang proses pembuangan air besar.


6. Ubi keledek


Ubi keledek merupakan sayur-sayuran berkanji yang mempunyai kandungan serat yang tinggi. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pemberian ubi keledek, mandian kaki dan tekanan akupuntur terhadap pesakit koronari. Kajian mendapati pemberian ketiga-tiga rawatan ini efektif di dalam mengawal simptom sembelit di kalangan pesakit.


7. Buah pear


Buah pear juga merupakan antara pilihan buah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sembelit. Hal ini kerana buah ini mengandungi kandungan serat yang tinggi dan juga kandungan fruktos dan sorbitol yang tinggi. Sorbitol berfungsi untuk menarik air ke kawasan usus besar lalu bertindak seperti laksatif.


8. Buah epal


Buah epal juga merupakan antara buah-buahan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi. Epal mengandungi serat yang tidak larut dan serat larut yang digelar pektin. Pektin merupakan sejenis serat yang menggalakan pergerakkan najis di dalam usus.


9. Sayur-sayuran hijau


Selain buah-buahan, sayur-sayuran terutamanya sayur-sayuran hijau juga penting di dalam pencegahan sembelit. Hal ini kerana ianya mengandungi kandungan serat yang tinggi. Umum mengetahui bahawa kanak-kanak merupakan golongan yang kurang gemar dengan sayur-sayuran. Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadi kreatif di dalam menyediakan sayur-sayuran kepada anak-anak.


10. Makanan bijirin penuh


Makanan bijirin penuh merupakan sejenis kategori makanan yang terkenal dengan kandungan seratnya yang tinggi. Antara makanan yang dikategorikan sebagai makanan bijirin penuh adalah roti gandum penuh, oat, beras perang, biskut gandum penuh dan lain-lain.


Kesimpulannya, masalah sembelit di kalangan kanak-kanak boleh disebabkan oleh pelbagai faktor dan punca. Langkah pertama yang perlu dilakukan sekiranya anak anda mengalami masalah sembelit adalah berjumpa dengan doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Pengambilan makanan-makanan seperti yang dinyatakan di atas boleh dilakukan selepas anak anda mendapatkan rawatan yang sebetulnya dengan pegawai perubatan untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih buruk.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)