Terkini

Khasiat Air Kelapa Untuk Kesihatan Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat dan kebaikan air kelapa pada kesihatan? Artikel ini akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai khasiat air kelapa terhadap kesihatan kita.



Air kelapa merupakan sejenis minuman yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Ianya digemari oleh setiap peringkat umur dan minuman ini sering dijadikan sebagai pembasah tekak dikala cuaca panas. Air kelapa terhasil dari tisu endosperm buah kelapa atau nama saintifiknya cocos nucifera L.


Buah ini bukan sahaja dijadikan minuman penghilang dahaga, malah turut digunakan secara tradisional untuk merawat beberapa penyakit seperti cirit-birit dan demam.



Kandungan makronutrisi yang terdapat pada setiap 100 ml air kelapa. Setiap 100 ml air kelapa dapat membekalkan sebanyak 22 kcal tenaga dan 5.6 g karbohidrat. Di dalam air kelapa tidak mengandungi serat, protein dan lemak.


Kandungan mikronutrisi yang terdapat dalam setiap 100 ml air kelapa. Terdapat sebanyak 14 mg kalsium, 0.1 mg zat besi, 1 mg sodium, 198 mg kalium, 12 mg fosforus dan 15 mg vitamin C.


Terdapat beberapa komponen berkhasiat yang terdapat pada air kelapa. Antaranya adalah seperti vitamin B. Antara vitamin B yang terkandung dalamnya ialah asid nikotinik, asid pantotenik, riboflavin dan tiamin. Ianya juga mengandungi vitamin C, asid folik dan asid amino.


Di samping itu, air kelapa juga mengandungi ion tidak organik. Antara kepentingan ion tidak organik ini adalah untuk pembentukan tulang yang sihat, penghasilan enzim, penting di dalam penghasilan hemoglobin, dan juga terlibat di dalam metabolisma asid amino, lemak dan karbohidrat.


Komponen mikronutrisi yang berkhasiat di dalam air kelapa sudah semestinya kandungan kalium yang terbukti berkesan untuk mengurangkan paras tekanan darah dan penting di dalam pengecutan otot.


Kali ini kami akan kongsikan khasiat dan manfaat air kelapa kepada kesihatan serta kelebihannya berbanding air penghidrat tenaga di luar sana.


1. Sebagai minuman elekrolit


Tahukah anda selain minuman isotonik seperti 100 plus, air kelapa juga sesuai dijadikan sebagai minuman elektrolit. Hal ini kerana air kelapa mengandungi pelbagai mineral, ion dan elektrolit yang mampu menghasilkan tekanan osmotik yang sama seperti darah.


2. Mengawal tekanan darah


Air kelapa mengandungi kandungan kalium yang agak tinggi di mana setiap 100 ml air kelapa mampu membekalkan sebanyak 198 mg kalium. Antara salah satu sifat kalium adalah menyebabkan salur darah menjadi lebih luas. Tekanan darah akan menurun apabila salur darah menjadi kurang sempit.


Selain itu, kalium juga penting di dalam pengawalan pengecutan otot seperti otot jantung. Pengecutan otot jantung yang normal juga mampu mengekalkan tekanan darah pada paras normal.


3. Mengelakkan tekanan oksidatif (oxidative stress)


Di dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan, didapati bahawa pemberiaan air kelapa sebagai terapi kepada haiwan yang diberi diet fruktosa dapat menurunkan bilangan kejadiaan tekanan oksidatif pada haiwan tersebut dan membaiki paras anti oksida di dalam haiwan terbabit.


Hal ini kerana terdapat kandungan vitamin C dan L ariginine di dalam air kelapa yang membantu melawan tekanan oksidatif.


4. Memperbaiki paras lipid di dalam darah


Kajian yang dijalankan ke atas haiwan mendapati bahawa pemberiaan air kelapa dapat memperbaiki paras lipid dan kolesterol haiwan tersebut. Air kelapa didapati dapat menurunkan paras kolesterol, trigliserida, LDL yang lebih dikenali sebagai kolesterol jahat dan meningkatkan paras HDL ataupun kolesterol baik.


5. Melindungi jantung


Oleh kerana pengambilan air kelapa terbukti untuk meningkatkan paras HDL, ianya mampu untuk mencegah sebarang masalah jantung seperti seperti serangan jantung. Kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mempunyai masalah jantung mendapati bahawa air kelapa bersifat melindungi jantung haiwan tersebut.


6. Bersifat anti radang


Air kelapa juga mempunyai sifat anti radang dek kerana kandungan vitamin, mineral dan asid cytokinin yang terdapat padanya. Hal ini telah terbukti berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas haiwan. Air kelapa mampu untuk menyekat penghasilan prostaglandin yang bertanggungjawab ke atas rasa sakit dan keradangan.


7. Merawat cirit birit


Air kelapa telah digunakan secara tradisional untuk merawat kejadian cirit-birit yang terjadi di kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa. Selain itu ianya juga digunakan untuk mencegah jangkitan salur pencernaan.


8. Bersifat anti diabetik


Satu kajian yang telah dijalankan terhadap haiwan mendapati bahawa air kelapa dapat menurunkan paras glukosa darah apabila haiwan tersebut diberi rawatan air kelapa berbanding dengan haiwan yang tidak menerima rawatan. Selain itu, air kelapa juga meningkatkan paras insulin dan paras glikogen hati. Ianya juga menurunkan paras glycated hemoglobin di dalam haiwan tersebut.


9. Melindungi ginjal


Satu kajian telah dijalankan ke atas haiwan untuk mengkaji kesan pemberian air kelapa terhadap pembetukkan kristal. Setelah 7 minggu kajian dijalankan, didapati bahawa pemberian air kelapa mencegah pembentukkan kristal pada tisu renal dan juga mengurangkan jumlah kristal di dalam urin haiwan tersebut. Air kelapa didapati mampu melindungi kejadian tekanan oksidatif pada ginjal.


10. Mempunyai kandungan vitamin B9


Air kelapa mempunyai kandungan folate ataupun vitamin B9. Vitamin ini sangat penting untuk mencegah kejadian anemia semasa hamil. Ianya juga mencegah toksisiti mitokondria yang disebabkan oleh metanol.


11. Mengurangkan rasa mual bagi wanita hamil


Wanita yang hamil seringkali menghadapi masalah morning sickness pada peringkat awal kehamilan mereka. Jika sudah cuba pelbagai cara tetapi masih tidak berjaya, anda disarankan untuk minum air kelapa bagi mengurangkan rasa mual. Malah, ia dapat meningkatkan metabolisme anda.


Kesimpulannya, terdapat pelbagai kebaikan yang boleh diperolehi dari segelas air kelapa. Namun haruslah diingat bahawa pengambilannya haruslah secara bersederhana dan perlu mendapatkan nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu untuk mengelakkan komplikasi kesihatan yang lain terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.


Diharapkan artikel khasiat air kelapa ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada para pembaca berkenaan kebaikan air kelapa ini.


SUMBER

Share this:

Catat Ulasan

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)