Terkini

Makanan Untuk Masalah Jerawat Yang Sering Timbul

Apakah makanan untuk mereka yang mengalami masalah jerawat? Artikel akan membincangkan makanan yang sesuai untuk masalah jerawat anda.



Pasti setiap daripada kita pernah mengalami masalah jerawat bukan? Jerawat atau juga turut dikenali sebagai acne vulgaris merupakan salah satu masalah inflamasi atau keradangan pada kulit yang disebabkan oleh peningkatan penghasilan sebum, gangguan proses keratinisasi dan jangkitan bakteria pada folikel rambut di beberapa bahagian badan seperti muka, tengkuk, dada dan belakang badan.


Masalah jerawat ini sering terjadi apabila seseorang itu sudah mencapai akil baligh di mana mungkin terjadinya ketidakseimbangan hormon badan. Masalah jerawat ini boleh diatasi dengan pelbagai cara seperti penggunaan ubat-ubatan topikal ataupun oral yang telah diberi oleh dermatologi.


Bagi mereka yang sudah lama mengamalkan rutin penjagaan kulit, pasti mereka sudah tahu apakah tindakan yang sesuai dilakukan apabila timbulnya masalah jerawat ini seperti meningkatkan hidrasi kulit, tidak meninggalkan penggunaan krim pelindung matahari dan lain-lain lagi.


Namun begitu, wujudkah makanan yang dapat membantu masalah jerawat ini? Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan makanan yang sesuai untuk masalah jerawat.



Jerawat merupakan masalah kulit yang boleh disebabkan oleh beberapa punca dan masalah. Berikut merupakan punca bagi terjadinya masalah kulit ini.


- Penghasilan minyak dan sebum yang berlebihan yang menyebabkan peyumbatan pada pori.


- Pengumpulan sel-sel kulit mati pada kulit yang berkumpul pada bahagian folikel rambut.


- Jangkitan bakteria.


- Perubahan hormon terutamanya ketika fasa akil baligh yang menyebabkan penghasilan hormon androgen yang tinggi.


- Masalah kesihatan seperti sindrom polisistik ovari yang mengganggu keseimbangan hormon yang juga dapat menyebabkan masalah jerawat.


- Pengunaan beberapa jenis ubat-ubatan seperti kortikosteroid.


- Pengambilan sesetengah jenis makanan juga dapat menyebabkan masalah jerawat pada sesetengah individu.


Terdapat pelbagai simptom jerawat dan ianya berbeza mengikut jenis jerawat. Berikut merupakan simptom-simptom bagi jerawat berdasarkan AAD (American Academy of Dermatology Association).


Whitehead adalah apabila terdapat pengumpulan minyak dan sel kulit mati yang menutup liang roma. Ini akan menghasilkan kesan cela yang berwarna putih kerana liang yang tertutup akan menghalang proses pengoksidaan.


Blackhead pula adalah sejenis jerawat berwarna hitam. Warna hitam ini terhasil kerana liang roma yang terbuka mendedahkan sebum di dalamnya kepada udara dan kekotoran dari luar.


Pimple pula adalah apabila kulit kelihatan membengkak dan berwarna kemerah-merahan. Sekiranya pimple ini mengandungi pus, ianya dikenali sebagai pustule dan sekiranya ianya tidak mengandungi pus ianya dikenali sebagai papule.


Nodul atau cyst simptom ini melibatkan bakteria yang menyebabkan inflamasi pada bahagian dalam kulit dan ianya akan menghasilkan rasa yang sakit berbanding yang lain. Cyst adalah apabila ianya mengandungi pus manakala nodul adalah apabila ianya tidak mengandungi pus.


10 Makanan untuk Masalah Jerawat


Beberapa kajian telah dijalankan dan menyimpulkan bahawa tiada jawapan untuk mengaitkan bahawa diet merupakan punca kepada masalah jerawat. Namun begitu berikut merupakan antara makanan yang dikatakan sesuai diambil untuk mengatasi masalah jerawat.


1. Air kosong


Pasti anda sering mendengar bukan bahawa pengambilan air yang mencukupi dapat membantu mengatasi masalah jerawat. Bagaimana pengambilan air yang mencukupi dapat membantu sedikit sebanyak untuk mengatasi masalah jerawat.


Pengambilan air kosong yang mencukupi dapat mengelakkan dehidrasi badan dan mencegah kekeringan kulit. Kulit yang kering sering terdedah kepada masalah kulit dan jangkitan bakteria.


2. Makanan rendah indek glisemik


Apa itu makanan yang rendah indek glisemik? Makanan yang mengandungi indek glisemik yang rendah adalah makanan yang dapat menaikkan paras gula di dalam darah dengan perlahan. Antara makanan yang rendah indek glisemik adalah beras perang dan roti gandum penuh. Satu kajian telah menemukan bahawa pengambilan makanan yang mempunyai indek glisemik yang rendah dapat mengatasi masalah jerawat.


3. Teh hijau


Seringkali kita mendengar bahawa teh hijau mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan tubuh badan. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan esktrak teh hijau tanpa kafein terhadap peserta wanita yang mempunyai jerawat.


Kajian ini mendapati bahawa pemberian ekstrak teh hijau dapat mengatasi masalah jerawat di kalangan peserta. Namun begitu, lebih banyak kajian diperlukan untuk menyokong kajian ini.


4. Makanan tinggi zink


Zink merupakan sejenis mikronutrisi yang boleh didapati di dalam makanan seperti ayam, tofu, kekacang dan pelbagai lagi. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji paras zink di dalam badan dan kaitannya dengan jerawat.


Kajian ini mendapati bahawa paras serum zink yang rendah berkait dengan kemunculan jerawat di mana zink ini penting untuk perkembangan kulit dan keseimbangan hormon.


5. Omega 3


Pasti ramai diantara pembaca pernah mendengar apa itu omega 3. Omega 3 adalah sejenis lemak baik di mana antara fungsinya adalah untuk mengurankan inflamasi dan keradangan. Antara makanan yang kaya dengan sumber omega 3 ialah ikan, kekacang dan minyak sayuran.


Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji hubungan di antara omega 3 dan jerawat. Kajian ini mendapati pemberian suplemen omega 3 dapat mengurangkan penghasilan jerawat.


6. Sayur-sayuran


Umum mengetahui bahawa sayur-sayuran mempunyai pelbagai kelebihan untuk kesihatan. Selain daripada mempunyai indek glisemik yang rendah (seperti yang diterangkan di atas), sayur-sayuran juga mempunya pelbagai mineral yang membantu untuk menjaga kesihatan kulit. ianya kaya dengan sumber antioksida yang dapat mencegah sel kulit daripada tekanan oksida.


7. Buah-buahan


Selain sayur-sayuran, buah-buahan turut digalakkan pengambilannya. Kita disarankan untuk mengambil sebanyak dua hidangan buah setiap hari untuk memenuhi keperluan serat harian. Antara buah-buahan yang disarankan ialah buah-buahan beri kerana ianya kaya dengan sumber antioksida.


8. Herba dan rempah ratus


Herba dan rempah ratus bukan sahaja dapat menambahkan rasa di dalam makanan malah sifat anti inflamasinya turut dikatakan dapat menyelesaikan masalah jerawat. Antaranya adalah kunyit, kulit kayu manis, lada hitam dan lain-lain.


9. Protein


Tahukah anda protein merupakan salah satu komponen yang penting diperlukan oleh tubuh untuk menghasilkan sel-sel yang baru. Pengambilannya yang mencukupi dapat menyokong pertumbuhan sel-sel kulit yang baru. Antara sumber protein adalah daging, telur, ikan, ayam dan juga sumber kekacang.


10. Gantian produk tenusu berasaskan tumbuhan


Jerawat sering dikaitkan dengan pengambilan produk tenusu. Sekiranya anda mendapati bahawa masalah jerawat anda berkait dengan sumber tenusu, anda bolehlah bertukar kepada gantian yang berasaskan tumbuhan seperti susu badam, susu soya dan lain-lain.


SUMBER

Share this:

Catat Ulasan

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Dimensi Teknologi Bumi Niaga(001859511-H)