Terkini

Khasiat Garam Bukit Untuk Kesihatan yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat garam bukit pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat garam bukit, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.



Garam adalah mineral yang terbentuk daripada sebatian natrium klorida melalui proses pemeluapan air garam atau dengan mengekstrak garam daripada bawah tanah. Sebelum terhasilnya garam yang berada di pasaran, pelbagai proses dijalankan seperti proses penapisan untuk menyingkirkan bendasing dan mineral selain daripada natrium klorida.


Setelah itu, agen anti ketulan akan dicampurkan untuk meningkatkan kelembapan dan iodin akan ditambah untuk membantu para pengguna yang kekurangan iodin. Garam telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia kerana digunakan untuk memberikan rasa dan agen pengawet sejak zaman dahulu lagi.


Dalam era moden, garam bukit telah mendapat tempat di pasaran. Garam bukit adalah garam yang berwarna merah hambu yang diekstrak daripada Lombong Garam Khewra yang terlerak berdekatan dengan kawasan Himalaya di Pakistan. Lombong Garam Khewra adalah satu satu lombong yang terbesar dan tertua didunia.


Garam bukit yang terhasil daripada lombong ini dipercayai terbentuk melalui proses pemeluapan air. Garam bukit ini diekstrak secara manual dan melalui proses yang minimum untuk menghasilkan produk yang bebas daripada bahan pengawet. Ini menjadikan garam bukit lebih semulajadi berbanding dengan garam biasa.


Kandungan nutrisi utama dalam garam bukit dan garam biasa adalah natrium klorida tetapi istimewanya garam bukit ini, ianya mengandungi 84 mineral dan unsur surih tambahan. Tambahan pula, kandungan mineral penting seperti kalsium, kalium, magnesium dan zat besi dalam garam bukit lebih tinggi berbanding garam biasa.



Senarai dibawah menunjukkan kandungan mineral dalam 1g garam bukit.


Kalsium (mg) - 1.6

Kalium (mg) - 2.8

Magnesium (mg) - 1.06

Zat besi (mg) - 0.0369

Natrium (mg) - 368


Nutrisi penting dalam garam bukit, ianya mengandungi 40% natrium dan 60% klorida. Natrium adalah mineral dan elektrolit yang diperlukan oleh badan. Natrium akan menarik dan menyimpan air iaitu cecair yang ada didalam dan juga diluar sel badan. Selain itu, natrium diperlukan untuk keseimbangan elektrolit dalam badan.


Badan turut memerlukan natrium untuk pergerakan otot dan fungsi saraf. Kebanyakkan natrium dalam badan iaitu kira-kira 85% ditemui dalam darah dan cecair limpa. Untuk memastikan kandungan natrium dalam badan pada paras normal, hormon aldosteron yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal akan menghantar maklumat kepada buah pinggang untuk menyimpan natrium dalam badan daripada merembeskan melalui air kencing.


Selain daripada disingkirkan melalui air kencing, badan akan kehilangan natrium melalui kulit apabila berpeluh. Natrium juga digunakan untuk masakan dalam bentuk natrium klorida ataupun garam dan natrium bikarbonat iaitu serbuk penaik. Natrium juga digunakan dalam bidang perubatan iaitu sebagai laksatif, aspirin, ubat kumur dan ubat gigi.


Klorida pula adalah elektrolit yang diperlukan dalam darah. Ianya membantu untuk mengawal jumlah cecair yang berada didalam dan diluar sel supaya dalam keadaan yang seimbang. Klorida akan bertindak seiringan dengan natrium dan kalium untuk mengekalkan homeostasis dalam badan.


Selain itu, klorida juga diperlukan untuk mengawal isi padu darah, tekanan darah dan pH cecair badan. Sama seperti natrium, klorida juga penting untuk pergerakan otot, fungsi sarad dan sel hati dimana ianya diperlukan untuk menghantar impuls elektrik untuk impuls saraf dan pengecutan otot.


10 Khasiat Garam Bukit Kepada Kesihatan iaitu :


1. Mengandungi mineral penting untuk penyingkiran toksin


Proses detoksifikasi menjadi amalan untuk menyingkirkan toksin yang berkumpul dalam badan melalui air, makanan berserat, jus dan bersenam. Toksin yang terkumpul akan menyebabkan badan berasa letih, kenaikan berat badan, sembelit, jerawat tumbuh di muka, sakit pada bahagian otot dan ketidakseimbangan perasaan.


Cara yang paling mudah untuk detoksifikasi adalah melalui air. Garam bukit menjadi pilihan untuk dilarutkan dalam air dan diminum sebagai agen detoks. Ini kerana garam bukit mengandungi mineral seperti magnesium, sulfida, kalsium sulfida, kalsium klorida dan kalium klorida.


Apabila air garam bukit melalui bahagian perut, ianya akan menyingkirkan toksin yang terkumpul dan menggantikannya dengan mineral yang berkhasiat untuk badan. Untuk mendapatkan kesan yang lebih efektif, larutkan air garam dalam air suam.


2. Kandungan Natrium Lebih Rendah


Seperti yang telah diterangkan, garam biasa terhasil melalui pelbagai proses dan ditambah dengan bahan pengawet. Ini menjadikan kandungan natrium dalam garam biasa lebih tinggi daripada garam bukit. Kandungan natrium yang lebih tinggi akan meningkatkan risiko penyakit jantung dan penyakit kardiovaskular.


Garam bukit pula mengandungi mineral penting yang lain dan kandungannya lebih tinggi berbanding garam biasa. Sebagai contoh, garam bukit diperkaya dengan iodin dimana iodin berperanan untuk mengekalkan keseimbangan elektrolit, membantu usus untuk menyerap nutrisi dan menurunkan tekanan darah.


3. Mengekalkan Kehidratan


Air merupakan bahan kedua terpenting dalam badan selepas oksigen kerana air membentuk 60% komposisi dalam badan. Air memainkan peranan yang besar dalam memastikan badan sentiasa sihat dan cergas. Air merupakan bahan utama dalam darah, sistem limfa dan peluh.


Air diperlukan untuk mengawal suhu badan terutama semasa melakukan aktiviti fizikal seperti senaman. Apabila badan kita tidak mengandungi air yang mencukupi kerana pengambilan air yang kurang dan kehilangan air melalui peluh, menyebabkan badan kita berasa letih. Pengambilan air yang dicampur dengan garam bukit adalah pilihan yang tepat terutamanya selepas bersenam.


Ini kerana apabila kita bersenam, badan kita akan mengeluarkan peluh yang mengandungi mineral dan elektrolit. Pengambilan air yang ditambah dengan garam bukit akan menjadikan badan terhidrasi dan menggantikan semua mineral dan elektrolit yang telah hilang.


4. Membantu Proses Pencernaan


Untuk memastikan proses pencernaan yang sihat, penghasilan enzim dan pH dalam sistem pencernaan sangatlah penting. Ini kerana setiap bahagian dalam sistem pencernaan memerlukan pH yang berbeza bergantung kepada peranan bahagian tersebut.


Sebagai contoh, air liur yang diperlukan untuk mencernakan kanji dan memudahkan pergerakan makanan melalui saluran makanan memerlukan pH 6.5 hingga 7.5. Garam bukit mengandungi mineral seperti natrium, kalium, klorida dan bikarbonat yang diperlukan untuk mengekalkan keseimbangan asid-alkali dalam badan. Secara tidak langsung, garam bukit membantu proses pencernaan.


5. Memberikan Tidur Yang Berkualiti


Tahukah anda bahawa pengambilan garam mempunyai kaitan dengan tidur? Kajian menunjukkan bahawa tindak balas biokimia dalam badan selalunya berlaku pada jam 2 pagi sehingga jam 4 pagi. Ini kerana paras hormon tekanan yang tinggi menyebabkan tidur kita terganggu. Diet yang rendah garam menyebabkan isi padu darah dalam sistem simpatetik berkurangan lantas, mengaktifkan adrenalin dan respons lari atau lawan. Oleh itu, disarankan untuk mencampurkan sedikit garam bukit dan madu dalam minuman sebelum tidur untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.


6. Mencantikkan Kulit


Seperti yang telah diketahui, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Tahukah anda bahawa garam bukit berupaya mencantikkan kulit kita? Garam bukit boleh dijadikan sebagai skrub wajah dengan mencampurkannya dengan minyak badam dan minyak untuk melembapkan kulit wajah. Campuran tiga bahan ini sangat berguna untuk menanggalkan sel-sel kulit mati. Sel-sel kulit mati ini yang menyebabkan kulit menjadi kusam. Selain itu, penggunaan garam bukit membantu dalam mengurangkan kesan kedutan yang menyebabkan penuaan pada wajah.


7. Membersihkan Udara Sekeliling


Garam bukit yang sinonim penggunaanya dalam makanan turut dijadikan sebagai bahan untuk membersihkan udara sekeliling. Sejarah menceritakan bahawa lampu yang diperbuat daripada garam bukit berperanan dalam membersihkan udara sekeliling. Ianya akan mengurangkan alergi dan meningkatkan tahap kesihatan.


Oleh kerana garam bukit bersifat ‘hygroscopic’ dimana garam bukit akan menyerap air dalam udara sekeliling. Lampu yang diperbuat daripada garam bukit akan menyerap air melalui proses penyejatan. Keadaan ini membantu dalam mengurangkan pertumbuhan kulat dan alergi.


8. Memberikan Perasaan Yang Tenang dan Gembira


Berdasarkan khasiat garam bukit sebelum ini, lampu daripada garam bukit berupaya memberikan ketenangan dan kegembiraan. Kajian menunjukkan setiap hari, badan kita terdedah kepada ‘blue light’ iaitu cahaya yang datang daripada telefon bimbit, komputer dan tablet.


Lampu daripada garam bukit menghasilkan cahaya yang lembut iaitu cahaya yang sesuai apabila sedang tidur. Tambahan pula, lampu daripada garam bukit menghasilkan ion bercaj negatif yang sama seperti ion yang terdapat pada persekitaran semulajadi seperti di bukit dan di pantai. Ion ini akan menghasilkan serotonin, hormon yang menstabilkan perasaan dan memberikan perasaan gembira pada badan. Penghasilan serotonin membantu untuk mengurangkan tekanan.


9. Memberikan Kelegaan Pada Sengal Otot


Garam merupakan bahan pengelupasan semulajadi dan bersifat anti keradangan, dimana ianya digunakan untuk merawat sakit otot dan sengal otot. Caranya adalah dengan merendam bahagian otot yang sakit atau sengal ke dalam air yang dicampurkan dengan garam bukit.


Untuk mendapatkan kesan yang lebih bagus, gunakan air suam untuk rendaman tersebut. Ini kerana garam bukit mengandungi mineral seperti magnesium yang akan diserap ke dalam badan. Ini akan menguatkan tulang dan tisu penyambung yang menyebabkan sakit otot dan sengal otot.


10. Meningkatkan Sistem Pernafasan


Kajian menunjukkan bahawa terapi menggunakan garam bukit sangat baik untuk sesiapa yang mengalami masalah pernafasan seperti penyakit asma, alergi, jangkitan sistem pernafasan atas dan sebagainya. Ini kerana apabila kita bernafas, partikel garam bukit akan diserap ke dalam paru-paru dan terus kepada saluran pernafasan.


Partikel garam bukit akan membersihkan saluran pernafasan daripada partikel berbahaya yang menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. Saluran pernafasan akan menjadi lebih luas dan memudahkan untuk bernafas.


Selain itu, garam bukit yang bersifat anti bakteria, anti virus dan anti mikroorganisma akan membunuh dan menghalang pertumbuhan toksin dan patogen dalam paru-paru. Apabila partikel garam bukit masuk ke dalam sistem pernafasan, ia akan menyerap mukus berlebihan dan bakteria yang berbahaya.


Kesimpulannya, walaupun garam bukit mengandungi khasiat yang baik untuk tubuh badan, namun demikian, pengambilan garam bukit perlulah mengikut kepada saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu 1 sudu teh (5g) sehari. Ini kerana pengambilan garam bukit yang berlebihan akan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular. Selain itu, garam bukit yang berlebihan dalam badan akan menyebabkan cecair dalam badan terkumpul dan membebankan buah pinggang. Oleh itu, ayuhlah kita mempraktikkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan hidup kita.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)